Thursday, November 7, 2013
2
“Tumpang duduk boleh?”
Tersembur air yang diminum. Fish menekup mulut. Bimbang tersedak sekali lagi. Nak balas dendam agaknya! Mata tajam macam sembilu. Huh! seram betul. Jeling sikit! memang muka spesis muka model. Cuma, dia tak pasti melayu atau bukan. Fikir balik, apa kena mengena dengannya! Buat bodoh sudahlah. Dia pura-pura sibuk balas SMS. Haha. lantaklah kalau mamat ini nak gelakkannya sebab guna telefon bodoh.
Pa’an duduk di atas kerusi depan Fish. Tangan menopang dagu. Tengok Fish sekejap. Kemudian tengok Jom yang selamba mengangkat kening. Dia pun lakukan perbuatan yang sama. Angkat kening kat Fish. Haha. Nak perhatian, mestilah pandai mengayat.
“Nama saya Pa’an!”
Ops! Fish tersedak lagi. Pendeknya nama! Pa’an aja? Gatal aja mulut nak menanya, tapi tak berdaya. Dia terbatuk-batuk. Macam orang tercekik gigi palsu.
“Hello! I Jom. Itu nama pendek. Nama panjang Jom Ai Chuan. Ini pula kawan I. Nama pendek Fish. Nama panjangnya Arniza. Waktu kecil-kecil dulu dia suka tengok ikan laga dalam botol. Siap dilaga-lagakannya ikan-ikan itu. Sampaikan ada yang mati sebab terlanggar botol. Itulah dapat gelaran Fish. Haha”
Pa’an angkat kening sekali lagi. Kisahnya! Sekali lagi dia menjeling Fish. Nampak muka sopan aja. Kasar rupanya! Sengih lagi.
Fish membalas dengan senyuman yang dibuat-buat.
Saya sedang sibuklah bro! ada urusan yang belum selesai.
“Bang! minta teh tarik lagi satu.” Air yang bersisa separuh cawan ditolak rapat ke depan Fish. Pa’an memang mat selamba.
Fish tunjuk cawannya yang masih penuh.
”Saya minum satu cawan aja.” Wah, Dia boleh buat muka garang apa!
“Tak mengapa. Minum aja dua cawan. Minum sampai habis. Yang ini dah bercampur air liur awak. habiskan! kalau tak, membazir.”
Fish buat muka bodoh. Dalam kepala dia terfikir samada nak balik ke rumah mamanya atau tak petang ni! kalau sekali fikir, rasa nak balik. Dua kali fikir, malaslah pula. Kalau balik dia akan rasa sama macam duduk di dalam panggung wayang. Mama akan membebel suruh sambung belajar. Dia bosan, bosan dan bosan. Huh! Tak kisahlah jadi kerani pun! kalau pandai sangat nanti, kot lelaki pula tak ada kerja. Semua dibolot oleh kaum wanita. Sudahlah begitu, tak ada pula lelaki yang nak masuk meminangnya sebab gaji tinggi. Pangkatpun tinggi. Haha. Berangan aja lebih. Padahal, dia malas nak belajar bila dah pegang duit sendiri.
“Awak berdua dah bekerja atau masih belajar?”
Part jawab soalan eloklah diserahkan kepada Jom. Baik dia diam aja. Pura-pura sibuk mengadap skrin telefon lagi bagus daripada menatap muka Pa’an yang boleh menggugat keimanannya. Kang dia terpikat susah pula.
“Tekalah!” Amboi Jom...., siap buat muka manja lagi. Anak dara Siam ni memang mengada-ngada kalau mengadap muka mamat kacak. Perasan dia pun lawa macam Aiswarya Rai. Haha.
“Look like student! Form six! or Maktrik?”
Dahi Fish berkerut. Tak sengaja! bila tersedar, terus digosoknya. Tak suka kalau keningnya berkedut lebih awal.
“Saya dah kerja. Dia aja masih belajar.” Fish terpaksa menjawab bila Jom menunjuknya agar menjawab soalan itu.
“Really?” kalau dilihat sekali pandang, Jom kelihatan lebih matang berbanding Fish yang walaupun cantik, tetap nampak sombong. Boleh pula memukul bola tangkis ke mukanya. Tiga kali pula tu! entah sengaja kot. Pa’an duduk tegak depan Fish. Senyum sikit! tapi nipis. Tangan memeluk tubuh sambil melihat Fish yang masih buat-buat sibuk semula.
“Awak buat apa kat telefon tu? Betullah kata orang...”
Segera kepala Fish terangkat. Kata apa ya? nak juga dia tahu.
Pa’an tersengih. Mengena juga pancingnya.
“Generasi sekarang tak pandai nak bergaul. Mereka lebih sibuk mengadap gajet daripada meneruskan tradisi orang lama iaitu mengeratkan silaturrahim. Kalau saudara-mara datang bertandang ke rumah, generasi muda sekarang lebih suka memerap di dalam bilik, mengadap laptop ataupun telefon pintar. Kalaupun berdepan dengan orang, mereka terlebih sopan daripada orang-orang lama.”
Teruja pula Fish dan Jom nak tahu. Apa yang terlebih sopannya?
“Maksud awak?” Fish menatap mata tajam yang dirasakannya penuh dengan intipan untuk tahu lebih mengenai dirinya dan Jom. Mungkin Jom aja yang tak tahu.
“Sebab tak mendongak ke atas! Cakaplah apapun, tunduk aja ke bawah. Macam awak tadi! dok layan kawan bisu yang hantar pesanan.” Pa’an membebel. Dia memang suka bercakap dan membebel. Bukankah dia bekerja sebagai seorang cikgu! Anak-anak dara berdua ini aja tak tahu.
Uwek! Fish nak termuntah. Ini tuduhan tau! dia hanya main game ular tadi. Siapalah yang nak diajara berbalas-balas SMS. Kalau ada teman lelaki lainlah! Ini, masih solo trang tang tang lagi. Pandailah serkap jarang.
Nampak gaya Fish dah semacam. Tengok muka dah merah tahulah Pa’an gadis ini tak selesa dengan komennya tadi.
“Actually....saya ada hal dengan awak berdua. Terlanjur dapat mara ke pusingan penentuan, dikira okeylah tu! Pukulan pun cantik! pandai buat drop ball depan net. Jumping smash pun cantik. Menjunam macam layang-layang putus ekor..”
Bodek nampak! Fish menjeling Jom. Ana dara Siam itu mengejit mata kepadanya.
“So?” terus aja ke tajuk utama. Pening aih nak berjela-jela mukadimah.
“So....” dia memandang Jom. Gadis itu terdiam dan menunggu apa yang nak dicakapkannya. Syoklah pula buat orang ternanti-nanti. Haha. Dia tengok pula muka Fish. Selamba aja sambil menyuap bihun sup ke mulut. Dia suka stail Fish. Boleh sorok perasaan dengan bersikap selamba. Agaknya kalau dia usik sikit macam mana agaknya? Bolehlah cuba. Kalau dah kenal lama sikit nanti, nak diusiknya Fish konon dia nak masuk meminang. Kalau tak pengsan, tentu melopong mulut. Haha.
“Saya nak menjadi jurulatih awak berdua. Kita masuk tournament yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Atau boleh juga pinjamkan awak!” Dia memandang Jom. “Atau awak!” Fish pun kena! Sekali lagi dia buat muka bodoh.
“Pinjam apa pula?” Jom memang bersemangat ingin tahu. Ingin maju dan ingin ke depan.
“Kalau ada mana-mana syarikat tak ada player, dan nak pinjam awak berdua untuk menjadi pemain mereka. Saya boleh uruskan. Janji masyuk....” Huh, duit aja yang difikirkan oleh Pa’an. Komitmen besar. Mestilah pandai cari jalan!
Hish! Fish membantah dalam diam. Nak bagi orang pinjam? Macam lain aja maksudnya. Seram sejuk tengkuknya. Bapa ayam kah mamat poyo ini hah? Apa! ingat dia tak ada duit nak hidup sampaikan boleh disewa oleh sesiapa saja! Hello. Saya ada kelas tau. Cuma, dia malas nak bising aja. Kang Jom terasa hati pula.
“Actually, saya nak cakap kat awak berdua pasal satu lagi hal!” kening dua orang awek tak sebangsa dan tak seugama terangkat serentak. “kita akan ada sesi latihan tau! every weekend. Saya percaya awak berdua pasangan yang hebat. Ada bakat dan ada skill. Tak mustahil boleh sampai ke peringkat kebangsaan.” Kening Jom dan Fish terangkat lagi.
“Wah....boleh! Saya suka ada coach.” Jom menghirup teh tarik yang baru sampai. “Oh panasnya air!” Dia mengipas mulut. Tak berani nak cuba untuk menghirup minuman manis yang tak bagus untuk kesihatan sesiapapun jua itu. Kaedah lain digunakan. Dituangnya teh tarik itu ke dalam pelapik cawan. Tiup perlahan-lahan dua tiga kali. Disua ke mulut dan menghirup dengan cermat. Penuh seni caranya.
Fish diam. Dia kena fikir sampai tak boleh fikir hal yang diusulkan tadi. Mana boleh main redah aja! Memanglah Pa’an atau ada nama lain yang dia tak tahu ini tahu dia pandai main badminton. Satu dunia pun akan percaya dia ada talent sebagai pemain badminton kalau aksinya bertarung dipertontonkan di chanel 801 dan disiarkan secara langsung! Wah...sempat lagi dia berangan. Cuma, dia tak berani beri jaminan lagi. Ini hal penting. Dia pula bekerja. Memanglah kalau setakat kerja sebagai kerani di kedai elektrik orang tak akan kenal, tapi itulah sumber rezekinya buat masa sekarang. Mana boleh buat dua kerja dalam satu masa! mahu pengsan dibuatnya.
“Saya tak boleh bagi jawapan lagi tau! nak kena fikir dulu.” Jom tentu tak suka mendengar jawapan daripadanya. Sebaranglah!
Jom mengangguk-anggukkan kepalanya. Entah menerima pelawaan Pa’an atau nak ikut cakap Fish.
“Kami akan beri jawapan secepat mungkin. Boleh?” Itulah jawapan yang sepatutnya.
Fish diam aja. Dia tak mahu terikat dengan komitmen yang entah boleh dilakukannya atau tidak.
“Tak mengapa. Saya tak akan minta awak berdua bagi jawapan sekarang. Balik rumah, rehat dulu. Mandi air suam. Tenangkan fikiran. Tidur sekejap. Malam nanti mimpikan kejayaan, atau mimpikan muka saya. Esok pasti ada jawapan”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
best.
ReplyDelete