Saturday, March 26, 2011

cerita baru dari buku lama

Seperti selalu dia akan terjaga di tengah malam. Lubang hitam yang dalam di depan mata terus membunuh keinginannya untuk bahagia. Perasaannya begitu sayu. Hanya tangisan yang melegakan kesayuan itu. Rasa kosong yang dalam datang lalu mengiris hatinya.
Itulah mimpinya setiap malam. Dia akan bangun untuk minum segelas air suam. Kemudian kembali ke dalam bilik, menarik keluar laci meja soleknya. Sekeping gambar diambil. Dia akan duduk di atas kerusi sambil menatap gambar itu. Rindu yang dalam menikam-nikam hatinya. Dia menahan, melawan dan berusaha untuk terus membenci lelaki yang dipandang di dalam gambar itu. Namun, dia tahu jauh di dalam hati cinta pertamanya terlalu mahal untuk dibunuh.

-1-


Emi memerah otak, berusaha untuk meyakinkan Norina bahawa lelaki yang baru melintasi mereka tadi sememangnya kacak. “Serius! Memang kacak. Walaupun sekali imbas saya terpandangnya. Wajah yang manis. Lebih manis bila tulang pipinya kelihatan semasa dia membalas senyuman saya. Rahang bersegi. Ada sedikit kumis. Wajah seorang model!” Emi berhenti bersenam lalu berpaling memandang Norina di sisi. “Dia memandang awak tadi. Mata dia seperti ada magnet. Saya ingat lagi. Ya, dia melirik. Matanya jadi nakal. Kemudian dia terus saja pergi. Lepas tu berpaling lagi sekali.” Dia pelik bila Norina hanya diam, seperti terfikirkan sesuatu. Selalunya jika ada lelaki yang ingin mendekatinya atau ingin dikenalkan sesiapa Norina hanya akan mendengus. Setahu Emi hanya seorang lelaki yang rapat dengannya. Sayangnya, lelaki itu suami orang! Itu yang menjengkelkan Emi.
Senyap juga. Mujur Emi tak tahu Norina sedang berusaha mengawal diri daripada rasa terperanjat yang dahsyat. Tak mungkin pelanduk dua serupa. Hatinya dijolok pertanyaan.
Emi tidak mengalah. “Kita boleh mencari jalan kalau nak kenal dia.” Emi mencuit bahu Norina. “Saya tahu apa yang saya akan suka. Rasanya awak pun sama juga bukan?” Macamlah dengan senang-senang dia boleh memikat lelaki itu!
Norina mendengus perlahan. “Boleh tak buat sesuatu yang lebih baik selain daripada mengorat?”
Seperti biasa Emi tidak pernah berasa terkejut. Wajahnya menunjukkan dia benar-benar serius. “Ala, tengoklah sekejap. Itu ha, mamat yang sedang berjoging tu. Dia berlari mengeliling trek. Sudah dua pusingan. Saya pasti dia memiliki stamina yang sangat hebat.” Mata Emi macam anak panah yang sedang dilepaskan menuju ke busar. Tepat mengenai sasaran. “Saya patut ingatkan awak tentang dia awal-awal lagi” Bahasa Emi kedengaran lebih tertib pula. “Dia asyik memandang awak tadi. Itu pasal saya meracau.”
Norina seperti biasa, akan sentiasa berwaspada terhadap lelaki. “Awak yang patut menjaga kelakuan awak tu.” Matanya melirik kenderaan yang diletakkan berbaris-baris di tepi jalan dengan cat yang bermacam-macam. Langsung tak berminat untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai topik Emi.
“Bahu dan lengannya berketul. Tinggi betul ketulnya”
Norina mengerling sinis. Kemudian, secara tiba-tiba dia ketawa berdecit. “Daripada bercakap tentang orang lain baik awak ke kedai buku.
“Awak jangan risau. Saya akan jaga kelakuan saya.” Balasnya. Macamlah mudah sangat dia nak melarikan pandangannya daripada melihat lelaki itu!
“Oh..” Itu saja komen pendek daripada Norina.
Emi ketawa berdecit sekali lagi Suka benar hatinya boleh menyakat Norina. “Saya suka kalau boleh satukan awak dengan mana-mana lelaki bujang yang sepadan dengan awak. Itu saja yang saya nak buat. Tahu awak tak berminat dengan mana-manalelaki. Tahu juga awak dah kecewa.
Norina mencebik bibir. Kedua belah keningnya terangkat ke atas. “Tahu tak apa. Terima kasih.”
Emi sedikit terkesan Dia tahu itu ayat degil Puteri, tapi dia tak akan mengalah, “bak kata pepatah; yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti. Lupakan kekasih lama. Kita cari kekasih baru.” Di fikiran orang yang tak pernah berasa sakitnya putus cinta semua ini kelihatan mudah saja.
Norina tersengih. Kelihatan agak sinis rupanya. Emi memang tak pernah kenal makna putus asa. Biarlah. Dia tak boleh memaksa Emi. Kalaulah Emi tahu apa di hatinya! Hrm, Dia mengeluh. Biar saja sengsara yang masih menjadi penghuni di hatinya kekal di situ. Emi tak perlu tahu. Dia teringat kesakitan yang melekat kuat di dalam diri apabila malam menginjak ke dinihari. Matanya yang tetap segar tetapi meninggalkan lebam hitam di bahagian bawah untuk bebepa hari kemudiannya.
“Saya nak tengok awak bahagia.” Balas Emi. Suaranya perlahan penuh waspada. “Awak tak kecil hati bukan?”
Norina menggeleng. “Awak?”
Emi memerah otak. Dia berusaha untuk tidak menyakitkan hati Norina. “Saya lain. Tak ada perasaan marah, dendam atau kecewa. Saya belum pernah bercinta.” Matanya melirik nakal, “tapi saya sedang mencari cinta.” Dia menunggu reaksi Norina.
Norina tersengih. Kemudian ketawa. “Awak ni…macam-macam.”
“Sudah nak cari lelakilah. Lelaki juga susah nak curi hati saya.”
Norina mengangguk. Dia menyapu muka. Kemudian tunduk melakukan senaman menyejukkan badan. Hujung jari telunjuk kanan menyentuh hujung kaki kiri. Dia bangun berdiri mendepani Emi selepas melakukan senaman yang sama untuk kaki kanan. “Saya akan okey walaupun tak ada lelaki di dalam hidup saya.“Saya tahu awak hanya ingin berbuat baik. Jangan risau.”
“Mak awak yang risau. Saya tak kisah sangat. Katanya kalau benar jodoh awak dengan….”Jarinya menunjuk-nunjuk ke badan Norina. Tiada jawapan daripada Norina. Emi memuncungkan mulutnya. “Siapa nama mamat tu?” Emi memicit dahi, cuba mengingat kembali nama lelaki yang disebut-sebut emak Norina, Puan Zaidah. “Siapa ya?”
“Tak apalah. Lupakan dia.” Norina meraba poket seluarnya, mencari kunci kereta. “Mamat itu di Australia. Belum balik ke mari rasanya.” Diapun tak nak peduli lagi.
Emi mengangguk. Dia agak kesal menerima jawapan begitu daripada Norina. Kalau nanti Puan Zaidah menelefon bertanyakan siapa lelaki yang kini menjadi teman lelaki Norian apa yang nak dijawabnya? “Saya akan buat apa yang termampu.” Dia teringat janjinya minggu lepas. Dia tahu Puan Zaidah gembira mendengar.
Norina menyambung larian setempatnya di atas trek yang rata di tepi padang golf itu. Manusia lain sibuk dengan hal sendiri. Ada yang sedang berlari di dalam taman yang dibina setahun yang lalu; mendaki bukit-bukit kecil di antara pokok-pokok rendang yang sedang berbunga. Yang lain-lainnya sedang berjoging di atas trek di belakang mereka berdua yang sedari tadi berlari di tempat yang sama. Pilihan Emi sebenarnya. Kata Emi, dia bosan berlari di antara mereka yang berpeluh.
Pelik! Namun itulah realitinya
Norina terus berlari sementara Emi asyik memandang ke tengah trek.
“Dah hilangpun dia.”
“Siapa?” Norina hampir tersedak. “Apek tua yang selalu melambai tangan itu kah?” Acuh tak acuh ja soalan Norina.
“Bukan. Dia yang tadilah.”Mata Emi melilau-lilau ke sana ke mari. Dia kecewa. Wajah Puan Zaidah terbayang. Pasti dia sedih kalau tahu Norina masih tak berubah. Hatinya mendesis.
“Apa hal?” Tanya Norina tiba-tiba. “Awak langsung tak berlari. Takkan dah dua puluh minit masih nak warming-up?” Dia keletihan. Selepas menarik nafas dia berjalan ke hadapan. Rancangan Emi nak satukannya dengan mana-mana lelaki bujang takkan berjaya. Dia yakin sangat-sangat. Pintu cintanya dah lari jauh. Pasti Emi dipujuk emaknya mencari teman lelaki baru untuknya. Dia mengeluh. Hidup semakin sukar bila usia bertambah. Tiba-tiba hal kahwin menjadi topik paling utama kepada emaknya padahal emaknya tahu dia sebenarnya dah serik dengan lelaki. Cukup-cukuplah!
Emi tak menjawab. Dia hanya tersengih, kemudian menurut langkah kaki Norina. Namun begitu, dia bergerak agak ke hadapan. Mungkin kalau mamat tadi muncul dia boleh buat sesuatu! Dia sangat berharap begitulah yang akan terjadi. Dia tahu Norina perasan perbuatannya tetapi dia tak peduli.
Mereka terus berjalan. Ramai pula orang hari ini. Norina bimbang dia akan terlanggar sesiapa. Dia lalu mengomel perlahan. “Saya perlukan cermin mata. Secepat mungkin.” Dia ada masalah rabun. Berkali-kali janji nak ke kedai tetapi tak pernahpun sempat.
Emi tergelak kecil. “Itulah pasal. Awak sudah menjadi orang kurang upaya sebab gagal menikmati sesuatu dan juga seseorang yang sepatutnya untuk dilihat. Yang indah, hebat, hm...mungkin gagah sebagai seorang suami.” Emi pula yang seakan-akan terdesak.
Norina tergelak sedikit. “Sehingga ke dunia kahwin awak melalut,” pintasnya. “patutnya awak yang kahwin,” pandangan matanya lalu menusuk ke dalam mata Emi yang hanya menggeleng..
“Okey!” Balas Emi. “Kalau nanti saya dah dapat mencari seorang lelaki yang sesuai untuk awak sepertimana kehendak mak awak saya akan cuba untuk saya sendiri pula.” Dia masih bertekad mencari lelaki tadi. Kakinya terus saja melangkah ke depan. Trek yang membulat mengelilingi padang golf takkan memisahkan mereka dengan mamat kacak itu. Dia nak sangat tahu apa reaksi Norina bila mereka bertembung sekejap lagi. Mungkin kawan baiknya akan buat-buat bodoh macam selalu? Hampir pula dia tergelak.
Norina ketawa spontan. “Bagus juga kalau macam tu. Kita boleh bersanding bersama-sama.” Yang pasti dia hanya ingin bergurau. Sesaat, dua saat kakinya tersangkut pula. Seseorang di hadapan benar-benar mengejutkannya. Dia cuba berfikir tetapi tersekat pula kotak memorinya. Dia cuba berpatah balik, tetapi dah terlambat bila Emi tersedarkan sesautu.
“Dah jumpa. Nak tegurlah.” Emi mencelah dengan nada suara yang diperlahankan. “Kalau dia senyum pun dah okey. Tak baik lepaskan peluang kalau terjumpa lelaki kacak begini. Muda kan hanya sekali.” Emi terus saja memegang lengan Norina dengan kejap. Mereka seperti berpeluk sesama sendiri sehingga seorang dua yang berlari melintasi mereka tersengih-sengih memandang.
“Malulah saya. Awak ni.” Dia ingin melepaskan lengannya daripada terus dipaut Emi tetapi anak dara ini macam nak berpaut terus saja.
Emi telah masuk ke dalam keadaan renjatan.
“Lepaslah. Ish awak ni.” Dia menekan suara agar Emi boleh faham kehendaknya.
Emi tahu Norina mula membentak. Seperti biasa dia akan minta diri untuk balik kalau ada sesiapa nak kenalkannya dengan mana-mana lelaki bujang.
"Tengku Izzah Norina. Bertahun saya mencari. Akhirnya kita berjumpa juga.” Walaupun seperti mustahil tetapi saat yang dinantinya tetap tiba. Warna meluat yang ditunjukkan Norina adalah bukti gadis ini memang tak pernah lupakannya.
Emi terlepas lengan Norina.
Lelaki yang menjadi topik di dalam fikiran dan perbualan mereka muncul di depan mata. Ajaib! Itu yang ada di fikiran Emi.
Norina cuba berlagak biasa. Dia berdiri diam sambil memeluk tubuh. Matanya terarah ke tengah padang golf. Hatinya tidak senang dengan pertemuan ini.
Emi pula yang terpinga-pinga.
“Kecil benar bumi Allah ini. Tak sangka kita akan bertemu lagi” Dia bergerak lebih rapat.
Norina seperti akan naik angin. Walaupun dia tahu lelaki ini semakin kacak tetapi kalau perangai tak elok wajah yang sempurna akan kelihatan seperti hantu.
“Tadi tak perasan awak ada di sini, tapi kawan awak yang cantik ini berjaya membuatkan saya terpandangkan awak.”
Emi tersengih lebar. Tidak disangkanya akan menerima pujian oleh lelaki kacak ini. Kembang betul hatinya.
Norina pura-pura berfikir untuk seketika. Kemudian memetik jari. Nampak sangat dia sedang menipu. “Sukalah awak jumpa saya?” Soalnya dengan nada tegas. “Buat pengetahuan awak saya biasa-biasa saja. Mak tentu suka.” Sambungnya lagi. Bibirnya sedikit mencebik. Matanya meliar ke sana ke mari. Sesungguhnya hanya Allah saja yang tahu betapa dia tidak sanggup berdepan dengan lelaki ini lagi. Angin cemburu dan benci datang bertimpa-timpa.
Anak muda itu tertawa kecil. “Saya tak nak kecewakan awak dan mak. Saya tak berniat apa-apa.” Kata-katanya mati di situ. Dia tahu penentangan yang tergambar melalui wajah Norina. Entah bagaimana dia nak menjernihkan keadaanpun tak tahulah.
Norina mendengus. Tak adakah kuasa sakti yang boleh menghilangkannya dari tempat ini? Dia pura-pura sibuk melipat lengan baju.
Emi tersenyum tetapi seketika kemudian dia turut mengerutkan dahinya apabila melihat riak wajah Norina yang masam saja. Agak lama dia memandang anak muda yang baru tadi difikirkan adalah prince charmingnya.
Awak bukan prince charming saya. Marah hatinya kerana anak muda itu membutakan tumpuan terhadapnya. Memujinya tetapi memberi perhatian kepada Norina. Mana aci? Hatinya membantah.
Norina mencebik bibir, kemudian menjarakkan sedikit dirinya daripada Emi. “Bila masa awak balik ke mari? Apa cerita Australia awak itu?” Keras sahaja bunyi suaranya.
Emi bertambah hairan.
“Dah habis belajar balik lah. Actually saya balik ke Malaysia tahun lepas lagi tapi tak sempat jumpa mak. Sibuk sikit. Dia sihat?” Lengan yang berulas memeluk tubuh. Norina takkan memberinya peluang. Ah...
“Dia okey.”
“Masih di rumah lama?”
“Ya..” Malas nak dilayan borak dia menjawab yang patut sahaja. Kalau melebih-lebih tak balik pula dia nanti. Mamat satu ini memang terlebih peramah. Dia bertekad tak akan berlama-lama di depan mamat ini. “Awak pergilah ke rumah. Ketuk pintu. Kemudia beri salam. Jumpalah dengan mak awak tu.” Malas betul dia nak bercerita lebih-lebih. Buat sakit hati saja!
Anak muda itu tergelak. “Okey! Saya akan cuba mencari masa yang sesuai dan akan ke sana. Rindulah. Teringin nak makan nasi kerabu macam dulu-dulu. Bila surat-surat saya tak dibalas saya sangka mak dah berpindah! Dah tahu dia masih di situ saya akan pergi lah. Nombor telefon?” Dia yakin Norina yang menjadi dalang kenapa surat-suratnya tidak dibalas tetapi disabarkan dirinya. Disedarinya di mana letak diri sendiri.
Norina berasa harapan itu bagai jarum halus mencucuk ke ulu hatinya. “Carilah di dalam Yellow pages. Jom!” Tanpa mengucap salam atau ucap selamat tinggal Norina menarik tangan Emi yang masih terpisat-pisat.
“Siapa si maco itu dengan awak? Macam laki-bini bercerai talak tiga saja!” Lancang benar mulut si Emi.
Norina selamba membalas, “musuh dalam selimut. Tak boleh dibuat kawan. Dia suka tikam belakang. Menyampah saya.” Sambil berjalan pantas tangan Emi terus diheret. Seakan-akan bimbang ‘anak beruang’ itu akan menarik kawan baiknya jauh dari sisi.
“Cemas betul! Apa halnya? Si maco itu dah pernah meliwat awak ke?” Emi menyoal bodoh. Perkataan tikam belakang membayangkannya perbuatan yang satu itu sahaja.
“Lebih dari itu. Nanti-nantilah saya cerita. Jom balik dulu.”
Emi turut cemas. “Nasib baik saya tak berkenalan dengan dia tadi. Awak tak buat laporan polis?”
“Tak. Tak boleh. Nanti mak marah.”
“Hah?” Emi semakin tidak faham.
“Apa pun jua saya juga yang akan disalahkan oleh emak. Jomlah masuk kereta lekas!” Dia mendesak Emi yang masih melilau-lilau mencari lelaki tadi. “Kang awak diculiknya pula.”
“Ya Allah. Takutnya.” Emi terus menunduk masuk ke dalam kereta Honda City Norina. Tidak diduga olehnya lelaki sebegitu kacak mengamalkan hidup seperti kaum nabi Luth. Seks songsang!
Norina mengetap bibir. “Padan muka dia.” Hatinya berasa puas.